PERLEMBAGAAN ANSARA

PERLEMBAGAAN PERSATUAN BEKAS PELAJAR MRSM MALAYSIA (ANSARA)

FASAL 1    NAMA

1.1        Nama Persatuan ialah PERSATUAN BEKAS PELAJAR MRSM atau nama ringkasnya “ANSARA”, dan  selepas daripada ini disebut “Persatuan”.

FASAL 2    TEMPAT URUSAN

2.1        Alamat tempat urusan Persatuan ialah
Tingkat 4, Bangunan Medan MARA
Jalan Raja Laut PO Box 13600,
50816 Kuala Lumpur

atau di tempat-tempat lain yang akan ditetapkan dari semasa ke semasa oleh Jawatankuasa Pusat. Alamat tempat urusan Persatuan tidak boleh diubah tanpa kebenaran Pendaftar Pertubuhan terlebih dahulu.

FASAL 3    LAMBANG DAN LOGO PERSATUAN

3.1              Lambang dan Logo Persatuan serta pengertian dan tafsiran ke atasnya adalah sepertimana yang dilampirkan di Lampiran `A’.

3.2              Lambang , logo serta nama Persatuan dalah merupakan hak mutlak Persatuan. Tiada sesiapapun berhak menggunakannya tanpa mendapat kebenaran secara bertulis daripada Persatuan.

FASAL 4    TUJUAN DAN MATLAMAT

Persatuan ini merupakan sebuah pertubuhan sukarela yang bermatlamatkan seperti berikut:

4.1              Menggabungkan ahli-ahli Persatuan  untuk saling bekerjasama menjalankan aktiviti sosial, akademik dan ekonomi yang mengorak langkah ke arah kemajuan Bumiputera yang dinamik;

4.2              Memupuk dan mengeratkan perhubungan sesama ahli-ahli Persatuan;

4.3              Mengadakan aktiviti yang berfaedah untuk ahli-ahli Persatuan, Maktab Rendah Sains MARA (selepas ini dirujuk sebagai “MRSM”) dan masyarakat umum; dan

4.4              Menjalankan perniagaan yang bersesuaian bagi membiayai perbelanjaan aktiviti-aktiviti Persatuan.

FASAL 5    KEAHLIAN

5.1              Keahlian Persatuan adalah terbuka kepada semua bekas Pelajar MRSM tertakluk kepada syarat-syarat seperti berikut:

5.1.a.         Tiap-tiap pendaftaran keahlian hendaklah dikemukakan kepada Jawatankuasa Pusat atau Jawatankuasa Cawangan.

5.1.b.         Tiap-tiap pendaftaran keahlian hendaklah disertakan dengan bayaran masuk dan yuran tahun pertama sepertimana yang ditetapkan oleh Persatuan kepada Persatuan atau Cawangan.

5.1.c.         Seseorang pelajar universiti atau kolej universiti boleh diterima menjadi ahli Persatuan ini dengan kebenaran universiti atau kolej universiti yang berkenaan, sepertimana yang ditetapkan oleh Akta Universiti dan Kolej Universiti 1974.

5.1.d.         Setiap ahli hanya berhak menjadi ahli di sebuah Cawangan sahaja.

5.2              Jawatankuasa Pusat berhak dan berkuasa untuk menentukan serta mengadakan peraturan-peraturan bagi menyelaraskan prosedur kemasukan dan pendaftaran ahli-ahli.

FASAL 6    TANGGUNGJAWAB DAN HAK-HAK AHLI

6.1              Tiap-tiap ahli Persatuan mempunyai tanggungjawab seperti berikut:

6.1.a.         Memegang teguh dan mentaati Perlembagaan Persatuan serta peraturan-peraturan lain yang dikeluarkan oleh Persatuan bagi mencapai tujuan dan matlamat Persatuan;

6.1.b.         Menghadiri dan mengambil bahagian di dalam kegiatan Persatuan dan Cawangannya;

6.1.c.         Menjelaskan yurannya sepertimana yang ditetapkan oleh Perlembagaan Persatuan.

6.2              Tertakluk kepada peruntukan-peruntukan di dalam Perlembagaan ini, setiap ahli berhak bersuara, memilih, dipilih dan dilantik untuk sebarang jawatan di dalam Persatuan dan Cawangannya.

6.3              Seseorang ahli hanya berhak mengundi atau menjadi calon untuk sesuatu pemilihan atau perlantikan sekiranya beliau telah menjadi ahli dan menjelaskan semua yurannya samada semasa atau tertunggak pada atau sebelum 31 Mac di dalam tahun di mana Mesyuarat Agung Persatuan dan/atau Cawangan di adakan.

6.4              Mana-mana ahli yang digantung dan/atau tergantung keahliannya samada oleh Persatuan, Cawangan atau disebabkan oleh pelanggaran Perlembagaan ini olehnya tidak berhak:

6.4.a.         Menjadi calon bagi sesuatu perlantikan;

6.4.b.         Bersuara atau mengemukakan pendapat di dalam mana-mana Mesyuarat Agung Persatuan atau Cawangan dan/atau mana-mana forum Persatuan atau Cawangan;

6.4.c.         Memilih, mengundi dan/atau dilantik untuk apa-apa jawatan di dalam mana-mana Mesyuarat Agung Persatuan atau Cawangannya;

6.4.d.         Menggunakan apa-apa kemudahan serta keistimewaan yang diberi selaras dengan hak-haknya sebagai seorang ahli.

FASAL 7    PEMBERHENTIAN DAN PEMECATAN AHLI

7.1              Ahli yang hendak berhenti daripada menjadi ahli Persatuan hendaklah memberi kenyataan bertulis dua minggu terlebih dahulu samada kepada Setiausaha Agung atau Setiausaha Cawangan dan menjelaskan segala hutangnya.

7.2              Mana-mana ahli yang gagal mematuhi Perlembagaan Persatuan atau bertindak dengan cara yang akan mencemar nama baik Persatuan boleh dipecat atau digantung keahliannya bagi suatu tempoh sebagai mana yang difikirkan munasabah oleh Jawatankuasa Pusat. Sebelum Jawatankuasa Pusat memecat atau menggantung ahli tersebut, ahli itu hendaklah diberitahu akan sebab-sebab bagi pemecatan atau penggantungannya secara bertulis. Ahli tersebut juga hendaklah diberi peluang untuk memberi penjelasan, membela dirinya dan merayu ke atas keputusan tersebut.

FASAL 8    BAYARAN MASUK, YURAN DAN BAYARAN LAIN

8.1              Bayaran masuk dan yuran tahunan yang perlu dijelaskan adalah seperti mana yang ditetapkan oleh Jawatankuasa Pusat dari masa ke semasa.

8.2              Yuran tahunan semasa  hendaklah dijelaskan kepada Bendahari Agung atau Bendahari Cawangan pada atau sebelum 31hb Mac tahun yang tersebut .

8.3              Mana-mana ahli yang gagal menjelaskan yuran tahunannya sepertimana yang ditetapkan oleh Fasal 8.2 di atas akan tergantung hak-haknya sebagai seorang ahli sehingga tunggakan yurannya telah dijelaskan.

8.4              Jawatankuasa Pusat mempunyai kuasa menetapkan yuran masuk semula bagi mereka yang telah membiarkan keahliannya terlucut disebabkan hutang.

8.5              Yuran khas atau kutipan wang daripada ahli-ahli untuk tujuan-tujuan yang khusus atau tertentu boleh dibuat dengan persetujuan Jawatankuasa Pusat.

8.6              Jawatankuasa Pusat berhak dan berkuasa untuk menentukan serta mengadakan peraturan-peraturan bagi menyelaraskan prosedur pengutipan dan penggunaan yuran keahlian.

FASAL 9    MESYUARAT AGUNG TAHUNAN PERSATUAN

9.1              Mesyuarat Agung Tahunan Persatuan adalah merupakan badan tertinggi yang akan menentukan hala tuju dan wawasan Persatuan. Wakil-wakil Cawangan dan ahli-ahli Jawatankuasa Pusat boleh hadir bagi menjalankan Mesyuarat Agung Tahunan mengikut peraturan-peraturan sepertimana yang ditetapkan oleh Perlembagaan ini.

9.2              Wakil-wakil  Cawangan hendaklah dipilih tiap-tiap tahun oleh Cawangan masing-masing dan mereka boleh dipilih semula. Sesebuah Cawangan berhak menghantar tidak lebih daripada lima belas (15) wakil bagi Cawangan yang mempunyai jumlah keahlian yang tidak melebihi 200 ahli berdaftar yang tidak tergantung haknya. Untuk setiap 100 ahli seterusnya yang memenuhi syarat-syarat keahlian, Cawangan tersebut boleh menghantar tambahan satu(1) orang ahli ke Mesyuarat Agung Tahunan hingga tidak melebihi dua puluh (20) wakil keseluruhannya (termasuk lima belas (15) wakil asal).  Kuasa untuk memilih wakil-wakil ini diserahkan kepada Jawatankuasa Cawangan. Bagaimanapun, Ahli-Ahli Jawatankuasa Pusat Persatuan tidak boleh dipilih menjadi wakil Cawangan.

9.3              Semua Ahli Jawatankuasa Pusat dan wakil-wakil Cawangan yang hadir berkuasa mengundi di dalam Mesyuarat Agung Tahunan Persatuan. Mana-mana ahli Persatuan, dengan persetujuan Presiden boleh hadir di dalam Mesyuarat Agung Tahunan Persatuan sebagai pemerhati dan dia tidak boleh bercakap atau mengundi.

9.4              Korum untuk Mesyuarat Agung Tahunan Persatuan  dianggap cukup jika Perwakilan Cawangan  yang hadir berjumlah sekurang-kurangnya dua (2) kali bilangan Ahli Jawatankuasa Pusat .

9.5              Jika korum tidak cukup selepas satu (1) jam daripada waktu yang telah ditetapkan untuk mesyuarat, maka mesyuarat itu hendaklah ditangguhkan selama satu jam lagi; dan, jika korum tidak cukup juga selepas daripada waktu yang ditetapkan untuk mesyuarat yang ditangguhkan itu, maka berkuasalah wakil-wakil yang hadir menjalankan mesyuarat pada hari itu tetapi tidaklah mereka berkuasa meminda Perlembagaan Persatuan dan membuat keputusan-keputusan yang melibatkan semua ahli.

9.6              Mesyuarat Agung Tahunan Persatuan hendaklah diadakan pada atau sebelum 31 Julai pada tahun yang berkenaan sepertimana yang ditetapkan oleh Jawatankuasa Pusat. Kerja-kerja Mesyuarat Agung Tahunan Persatuan ialah:

9.6.a.         Menerima laporan Setiausaha Agung berkenaan perjalanan persatuan di dalam tahun yang sebelumnya;

9.6.b.         Menerima laporan Bendahari Agung dan penyata kewangan yang telah diaudit bagi tahun yang sebelumnya;

9.6.c.         Memilih ahli-ahli Jawatankuasa Pusat dan dua orang Juruaudit untuk tempoh selama dua (2) tahun yang  akan datang; dan

9.6.d.         Menguruskan perkara-perkara lain yang dibentangkan di dalam mesyuarat itu sepertimana yang telah dipersetujui oleh Jawatankuasa Pusat.

9.7              Notis awal mengenai Mesyuarat Agung Tahunan Persatuan yang menyatakan tarikh, waktu, tempat, serta jemputan mengemukakan cadangan untuk perbincangan (usul), meminda Perlembagaan dan pencalonan untuk pemilihan ahli- ahli Jawatankuasa Pusat, hendaklah dikirimkan oleh Setiausaha Agung kepada tiap-tiap Setiausaha Cawangan tidak lewat daripada 30 hari sebelum tarikh yang ditetapkan untuk mesyuarat.  Di samping itu sesalinan notis yang sama hendaklah juga dipamirkan di pejabat berdaftar Persatuan.

9.8              Nama-nama wakil, pencalonan untuk pemilihan pegawai-pegawai dan cadangan untuk dibincangkan di dalam mesyuarat hendaklah dihantar oleh Setiausaha Cawangan kepada Setiausaha Agung tidak kurang daripada empat belas (14) hari sebelum tarikh Mesyuarat Agung Tahunan Persatuan.

9.9              Mana-mana ahli yang berhasrat membuat pencalonan tanpa melalui Cawangan, mereka bolehlah membuat pencalonan dengan syarat mereka hendaklah mendapat sekurang-kurangnya lima belas (15) sokongan ke atas pencalonan tersebut.  Pencalonan tersebut hendaklah dihantar kepada Setiausaha Agung tidak kurang daripada empat belas (14) hari sebelum tarikh Mesyuarat Agung Tahunan Persatuan.

9.10            Setiausaha Agung hendaklah menghantar kepada Setiausaha Cawangan sekurang-kurangnya tujuh (7) hari sebelum Mesyuarat Agung Tahunan notis peringatan beserta  satu salinan agenda, peringatan Mesyuarat Agung yang lalu, Laporan Tahunan Persatuan dan Penyata Kira-Kira Persatuan bagi tahun lalu yang telah diaudit.

9.11            Setiausaha Agung hendaklah menghantar kepada semua Setiausaha Cawangan salinan minit Mesyuarat Agung Tahunan dalam tempoh yang berpatutan  setelah selesainya mesyuarat itu.

FASAL 10  MESYUARAT AGUNG LUAR BIASA

10.1            Mesyuarat Agung Luarbiasa bagi Persatuan ini boleh diadakan atas salah satu atau kesemua sebab-sebab berikut:

10.1.a        Bila difikirkan mustahak oleh Jawatankuasa Pusat; atau

10.1.b.      Atas permintaan dengan bertulis oleh lebih daripada satu per dua (1/2) daripada jumlah Cawangan-Cawangan yang sah  dengan menerangkan tujuan-tujuan dan sebab-sebab yang sama bagi mengadakannya.

10.2            Mesyuarat Agung Luarbiasa yang diminta oleh Cawangan-Cawangan hendaklah diadakan pada satu tarikh di dalam tempoh tiga puluh (30) hari dari tarikh penerimaan permintaan mesyuarat tersebut.

10.3            Pengumuman dan agenda untuk Mesyuarat Agung Luarbiasa itu hendaklah diedarkan kepada semua Setiausaha Cawangan oleh Setiausaha Agung sekurang-kurangnya lima belas (15) hari sebelum tarikh yang telah ditetapkan untuk mesyuarat.

10.4            Peruntukan-peruntukan yang terkandung di dalam Fasal 9 (4) dan 9 (5) Perlembagaan ini berkenaan korum dan penangguhan Mesyuarat Agung Persatuan boleh digunakan untuk Mesyuarat Agung Luarbiasa tetapi dengan syarat jika kuorum tidak mencukupi selepas satu jam dari waktu yang telah ditetapkan bagi Mesyuarat Agung Luarbiasa itu atas permintaan Cawangan-Cawangan, maka mesyuarat itu hendaklah dibatalkan.  Sekiranya pembatalan ini berlaku, maka sekurang-kurangnya di dalam tempoh enam (6) bulan daripada tarikh Mesyuarat Agung Luarbiasa yang dibatalkan tersebut, satu Mesyuarat Agung Luar Biasa yang lain yang dipohon dengan tujuan yang sama tidak boleh diadakan.

10.5            Setiausaha Agung hendaklah menghantar kepada semua Setiausaha Cawangan salinan minit Mesyuarat Agung Luarbiasa  dalam tempoh yang berpatutan  setelah selesainya mesyuarat itu.

FASAL 11  JAWATANKUASA PUSAT

11.1            Di masa ketiadaan Mesyuarat Agung, Jawatankuasa Pusat adalah merupakan badan yang bertanggungjawab untuk mentadbir keseluruhan hal ehwal Persatuan dan membuat keputusan ke atas perjalanan persatuan. Ahli-Ahli Jawatankuasa Pusat ini – yang terdiri daripada ahli-ahli Persatuan – adalah seperti berikut:

11.1.a.       Seorang Presiden;

11.1.b.      Seorang Timbalan Presiden;

11.1.c.       Dua orang Naib Presiden;

11.1.d.      Seorang Setiausaha Agong;

11.1.e.      Seorang Penolong Setiausaha Agung;

11.1.f.       Seorang Bendahari Agung

11.1.g.       Ahli Jawatankuasa Biasa yang terdiri daripada setiap Ketua Cawangan; dan

11.1.h.      Tidak melebihi Lima (5) orang Ahli Jawatankuasa yang dilantik oleh  Presiden

11.2            Presiden mempunyai kuasa untuk melantik dan memberhentikan perkhidmatan :-

11.2.a.       Setiausaha Agung dan Penolong Setiausaha Agung.

11.2.b.      Ahli Jawatankuasa yang dilantik

11.3            Semua ahli yang berkhidmat di dalam Jawatankuasa Pusat dan tiap-tiap pegawai yang menjalankan tugas eksekutif di dalam Persatuan ini hendaklah warganegara Malaysia.

11.4            Pemilihan bagi jawatan-jawatan Presiden, Timbalan Presiden, Naib-Naib Presiden serta Bendahari Agung akan dijalankan dengan cara mengundi oleh wakil-wakil Cawangan dan Ahli-Ahli Jawatankuasa Pusat yang ada pada ketika itu di dalam Mesyuarat Agung Tahunan Persatuan.  Keputusan adalah dengan cara undi terbanyak.   Sekiranya jumlah undi yang diperolehi untuk sesuatu jawatan tersebut adalah sama, maka pengerusi mesyuarat pada ketika itu mempunyai undi pemutus (casting vote), di samping undinya sendiri.

11.5            Ketua-Ketua Cawangan yang dipilih di dalam Mesyuarat Agung Tahunan Cawangan akan menduduki jawatan Ahli Jawatankuasa Biasa di dalam Jawatankuasa Pusat Persatuan secara automatik.

11.6            Jawatankuasa Pusat mempunyai kuasa untuk mengambil segala tindakan yang perlu bagi melaksanakan serta mencapai tujuan-tujuan Persatuan  dengan sempurna.

11.7            Jawatankuasa Pusat juga berkuasa menubuhkan Jawatankuasa-Jawatankuasa Kecil apabila diperlukan untuk tujuan tertentu. Pengerusi bagi Jawatankuasa Kecil ini serta ahli-ahlinya boleh dilantik dari kalangan Ahli-Ahli Jawatankuasa Pusat dan/atau ahli-ahli Persatuan. Jawatankuasa Kecil itu adalah tertakluk kepada arahan dan kawalan Jawatankuasa Pusat.

11.8            Jawatankuasa Pusat berkuasa membuat serta mengadakan peraturan-peraturan untuk menjalankan kegiatan-kegiatan Persatuan, termasuk mengadakan peraturan-peraturan bagi Mesyuarat Agung serta pemilihan Ahli Jawatankuasa Pusat.

11.9            Jawatankuasa Pusat hendaklah bermesyuarat sekurang- kurangnya sekali di dalam masa dua (2) bulan dan notis  pengumuman bagi tiap-tiap mesyuarat hendaklah diberikan kepada Ahli Jawatankuasa Pusat.  Presiden dengan bersendirian, atau tidak kurang daripada dua per tiga (2/3) daripada bilangan ahli Jawatankuasa Pusat bersama-sama, boleh memanggil supaya diadakan Mesyuarat Jawatankuasa Pusat pada bila-bila masa. Sekurang-kurangnya satu per dua (1/2) daripada bilangan ahli-ahli Jawatankuasa Pusat hendaklah hadir bagi mengesahkan perjalanan dan mencukupkan korum mesyuarat.

11.10         Jika timbul perkara mustahak yang berkehendakkan kelulusan Jawatankuasa Pusat dan mesyuarat tidak dapat diadakan, maka bolehlah Setiausaha Agung mendapatkan kelulusan Jawatankuasa Pusat secara pengedaran surat pekeliling. Syarat-syarat mengenainya seperti berikut hendaklah disempurnakan sebelum keputusan Jawatankuasa Pusat boleh dianggap sebagai telah diterima:

11.10.a.    Masalah yang dibangkitkan itu hendaklah dibutirkan dengan terang di dalam surat pekeliling yang diedarkan kepada tiap-tiap ahli Jawatankuasa Pusat;

11.10.b.    Ahli-ahli Jawatankuasa Pusat mestilah menyatakan persetujuan atau bantahan mereka secara bertulis terhadap cadangan itu; dan

11.10.c.     Keputusan hendaklah dengan undi yang terbanyak. Sebarang  keputusan  yang  diperolehi  melalui  surat pekeliling hendaklah dilaporkan oleh Setiausaha Agung kepada Mesyuarat Jawatankuasa Pusat berikutnya untuk disahkan dan dicatatkan di dalam minit mesyuarat.

11.11         Ahli Jawatankuasa Pusat yang gagal menghadiri Mesyuarat Jawatankuasa Pusat tiga (3) kali berturut-turut tanpa alasan yang munasabah akan disifatkan sebagai telah meletakkan jawatan di dalam Jawatankuasa Pusat.

11.12         Kecuali bagi kekosongan ke atas jawatan Setiausaha Agung, Penolong Setiausaha Agung, Ketua Cawangan dan Ahli Jawatankuasa yang dilantik, sekiranya berlaku kekosongan jawatan-jawatan yang lain di dalam Jawatankuasa Pusat, maka Jawatankuasa Pusat berhak melantik mana-mana ahli Jawatankuasa Pusat yang lain atau ahli Persatuan untuk memenuhkan kekosongan itu sehingga Mesyuarat Agung Persatuan  diadakan.

FASAL 12  TUGAS DAN TANGGUNGJAWAB AHLI JAWATANKUASA PUSAT

12.1            Presiden

12.1.a.       Bertanggungjawab di atas kesempurnaan pentadbiran, perjalanan dan hal ehwal Persatuan secara keseluruhannya;

12.1.b.      Mempengerusikan semua mesyuarat. Sekiranya beliau tidak hadir, Timbalan Presiden akan mempengerusikan mesyuarat tersebut. Sekiranya Presiden dan Timbalan Presiden tidak hadir, salah seorang daripada Naib Presiden akan dilantik sebagai pengerusi mesyuarat;

12.1.c.       Menandatangani minit-minit  Mesyuarat, cabutan-cabutan dan atau salinan-salinan rekod Persatuan  bersama Setiausaha Agung sekiranya perlu;

12.1.d.      Tertakluk kepada Fasal 11.2 di atas, Presiden mempunyai kuasa untuk melantik dan memberhentikan perkhidmatan Setiausaha Agung, Penolong Setiausaha Agung dan Ahli Jawatankuasa yang dilantik.

12.1.e.      Memanggil sendiri atau melalui Setiausaha Agung mesyuarat-mesyuarat  Agung, Jawatankuasa Pusat , Jawatankuasa Kecil serta lain-lain mesyuarat bila perlu;

12.1.f.       Mengarah Juruaudit Persatuan supaya mengaudit akaun Persatuan  dan Cawangan pada bila-bila masa yang diperlukan dan melaporkan keputusan audit tersebut kepada Jawatankuasa Pusat bila perlu.

12.2            Timbalan Presiden

12.2.a.       Dalam masa ketiadaan Presiden Timbalan Presiden akan memangku dan menjalankan tugas-tugas dan tanggungjawab Presiden;

12.2.b.      Membantu Presiden dalam menjalankan tugas dan tanggungjawabnya;

12.2.c.       Menjalankan sebarang tugas lain yang ditentukan oleh Jawatankuasa Pusat keatasnya dari masa ke semasa.

12.3            Naib -Naib Presiden

12.3.a.       Dalam masa ketiadaan Presiden dan Timbalan Presiden,  seorang Naib Presiden akan mengambilalih dan menjalankan tugas-tugas dan tanggungjawab Presiden.

12.3.b.      Membantu Presiden dalam menjalankan tanggungjawab dan kewajipan.

12.3.c.       Menjalankan sebarang tugas lain yang ditentukan oleh Jawatankuasa Pusat keatasnya dari masa ke semasa.

12.4            Setiausaha Agung

12.4.a.       Tertakluk kepada peruntukan Perlembagaan Persatuan, Setiausaha Agung bertanggungjawab secara lansung kepada Presiden. Atas arahan Presiden, beliau akan memanggil dan menghadiri semua Mesyuarat Agung Persatuan, Mesyuarat Agung Luarbiasa, Mesyuarat Jawatankuasa Pusat  dan mesyuarat-mesyuarat yang diadakan dan sekiranya perlu, menyampaikan segala dokumen-dokumen untuk pertimbangan mesyuarat-mesyuarat itu;

12.4.b.      Menyimpan dengan betul, teratur dan kemaskini daftar ahli-ahli, buku-buku dan laporan lain yang dikehendaki oleh pengurusan. Tertakluk kepada Fasal 5 di atas, buku daftar ahli hendaklah mengandungi butir-butir seperti nama Persatuan, nombor pendaftaran Persatuan , alamat, tarikh menjadi ahli, tarikh tamat menjadi ahli, nombor kad pengenalan , alamat dan pekerjaan;

12.4.c.       Menyimpan dan menjaga dengan selamat meterai Persatuan;

12.4.d.      Menyediakan Laporan Tahunan Persatuan  untuk dipertimbangkan oleh Jawatankuasa sebelum dibentangkan kepada Mesyuarat Agung Persatuan;

12.4.e.      Bertanggungjawab di atas kesempurnaan perjalanan sekretariat Persatuan serta kakitangan-kakitangan yang bekerja di sekretariat tersebut;

12.4.f.       Menjalankan sebarang tugas lain yang ditentukan oleh Jawatankuasa Pusat keatasnya dari masa ke semasa.

12.5            Penolong Setiausaha Agung

12.5.a.       Di dalam ketiadaan Setiausaha Agung, Penolong Setiausaha akan menjalankan tugas-tugas yang telah ditetapkan kepada Setiausaha Agung.

12.5.b.      Membantu Setiausaha Agung menjalankan tugas.

12.6            Bendahari Agung

12.6.a.       Menerima dan menjaga semua wang yang diterima oleh Persatuan  ini dan membuat pembayaran mengikut arahan-arahan Jawatankuasa Pusat.

12.6.b.      Menyimpan ke dalam akaun bank yang dibuka atas kelulusan Jawatankuasa Pusat atas nama Persatuan  ini semua wang yang diterima dalam masa tujuh (7) hari daripada penerimaannya.

12.6.c.       Mengeluarkan resit-resit, menyediakan baucer-baucer dan surat-surat lain mengjkut arahan-arahan Jawatankuasa Pusat.

12.6.d.      Menyimpan dalam Akaun Wang Runcit sebanyak tidak lebih daripada RM500.00 (Ringgit Malaysia Lima Ratus sahaja) yang dikhaskan oleh Jawatankuasa Pusat untuk perbelanjaan runcit dan perbelanjaan yang dibuat datipada akaun ini boleh diganti seberapa kerap yang perlu.

12.6.e.      Menyelenggara dan menyimpan akaun-akaun Persatuan  dan dokumen-dokumen yang berkaitan dengan sempurna dan kemaskini supaya dapat diperiksa pada bila-bila masa

12.6.f.       Menyediakan Penyata Kewangan Tahunan yang telah siap diaudit untuk dipertimbangkan dan diluluskan oleh Jawatankuasa Pusat.

12.6.g.       Menyediakan anggaran pendapatan dan perbelanjaan tahunan. Persatuan  untuk dipertimbangkan dan diluluskan oleh Jawatankuasa Pusat sebelum dibentangkan kepada Mesyuarat Agung Tahunan.

12.6.h.      Menjalankan sebarang tugas lain yang ditentukan oleh Jawatankuasa Pusat keatasnya dari masa ke semasa.

12.7             Ahli Jawatankuasa Biasa dan Ahli Jawatankuasa yang dilantik

Menjalankan tugas-tugas sepertimana yang diarahkan oleh Jawatankuasa Pusat.

12.8            Kuasa-Kuasa Dan Tugas-Tugas Jawatankuasa Pusat

12.8.a.       Jawatankuasa Pusat mempunyai kuasa untuk mengambil segala tindakan yang perlu – termasuk merangka dasar dan prinsip Persatuan — bagi memastikan objektif dan tujuan penubuhan Persatuan  dapat dicapai dengan sempurna.

12.8.b.      Jawatankuasa Pusat adalah berkuasa melantik Jawatankuasa Kecil apabila diperlukan. Jawatankuasa Kecil itu adalah tertakluk kepada arahan dan kawalan Jawatankuasa Pusat.

12.8.c.       Mengawal, mengelola serta memutuskan sebarang perkara yang bersabit dengan ahli, termasuk menubuhkan Jawatankuasa Disiplin bagi membicarakan ahli-ahli yang telah melanggar Perlembagaan ini..

12.8.d.      Meluluskan Belanjawan Tahunan Persatuan.

12.8.e.      Melantik Penaung Persatuan.

12.8.f.       Berkuasa menubuhkan Cawangan-Cawangan Persatuan sepertimana yang dijelaskan di dalam Fasal 16 Perlembagaan ini.

FASAL 13  HAL EHWAL KEWANGAN PERSATUAN

13.1            Semua wang yang diterima oleh Persatuan akan dimasukkan ke dalam Akaun Persatuan di Bank.

13.2            Cek-cek hendaklah ditandatangani oleh Bendahari Agung dan hendaklah ditandatangani timbal oleh salah seorang daripada Presiden , Timbalan Presiden, Naib Presiden atau Setiausaha Agung.

13.3            Kumpulan wang yang lebih daripada RM500.00 (Ringgit Malaysia Lima Ratus sahaja) tidak boleh disimpan oleh Bendahari Agung sebagai Wang Runcit.

FASAL 14  JURUAUDIT

14.1            Dua orang yang bukannya pegawai Persatuan boleh dilantik di dalam Mesyuarat Agung  Tahunan Persatuan sebagai Juruaudit. Mereka akan memegang jawatan selama dua  tahun dan tidak boleh dilantik semula.

14.2            Juruaudit adalah dikehendaki memeriksa kira-kira Persatuan dan bagi setahun, dan membuat laporan untuk dibentangkan di Mesyuarat Agung Tahunan Persatuan. Jika sekiranya diperlukan, mereka juga boleh diarahkan oleh Presiden pada untuk mengaudit kira-kira Persatuan atau Cawangan-Cawangan pada bila-bila masa di dalam tempoh jawatan mereka dan membuat laporan kepada Jawatankuasa Pusat.

FASAL 15  PEMEGANG AMANAH

15.1            Tiga orang Pemegang Amanah yang berumur lebih daripada 21 tahun hendaklah dilantik di dalam Mesyuarat Agung Persatuan, dan mereka akan berkhidmat selama yang dikehendaki oleh Persatuan. Harta boleh alih yang dimiliki oleh Persatuan boleh diamanahkan kepada mereka dengan menandatangani suatu Surat Ikatan Amanah

15.2            Pengamanah  tidak  boleh  menjual,  menarik  balik  dan menukarkan harta kepunyaan Persatuan tanpa persetujuan dan  kuasa  yang  diberikan  oleh  Jawatankuasa Pusat.

15.3            Sekiranya berlaku kekosongan jawatan Pemegang Amanah, Jawatankuasa Pusat berhak melantik penggantinya yang baru dan Mesyuarat Agung Persatuan yang diadakan pada tahun yang berikutnya hendaklah mengesahkan.

FASAL 16  PENUBUHAN  CAWANGAN-CAWANGAN

16.1            Jawatankuasa Pusat boleh membenarkan penubuhan Cawangan Persatuan bagi setiap MRSM yang ada di dalam negara ini (di dalam Perlembagaan ini disebut sebagai “Cawangan” atau “Cawangan-Cawangan”). Bagaimanapun, sebelum sesebuah Cawangan ditubuhkan, kebenaran secara bertulis perlu diperolehi daripada Pendaftar Pertubuhan terlebih dahulu.

16.2            Sekurang-kurangnya lima puluh (50) ahli diperlukan bagi menubuhkan sesebuah Cawangan Persatuan.

FASAL 17  MESYUARAT AGUNG CAWANGAN

17.1            Mesyuarat Agung Tahunan Cawangan hendaklah diadakan pada atau sebelum 31 Mei setiap tahun .

17.2            Kerja-kerja Mesyuarat Agung Tahunan Cawangan ialah untuk:

17.2.a.       Menerima laporan Setiausaha Cawangan , Bendahari Cawangan dan Penyata Kira-kira Cawangan yang telah diaudit bagi tahun lepas.

17.2.b.      Memilih Jawatankuasa Cawangan dan Juruaudit Cawangan untuk suatu tenpoh selama dua (2) tahun;.

17.2.c.       Membincangkan perkara-perkara lain yang akan dibentangkan.

17.3            Setiausaha Cawangan hendaklah menghantar notis kepada tiap-tiap ahli sekurang-kurangnya tiga puluh (30) hari sebelum tarikh yang ditetapkan untuk Mesyuarat Agung Cawangan  yang menyatakan tarikh, waktu dan tempat mesyuarat, panggilan mengemukakan cadangan untuk perbincangan dan pencalonan untuk pemilihan Ahli-Ahli Jawatankuasa Cawangan.

17.4            Pencalonan untuk pemilihan Ahli-Ahli Jawatankuasa dan cadangan untuk perbincangan di dalam mesyuarat tersebut hendaklah disampaikan kepada Setiausaha Cawangan tidak lewat daripada empat belas (14) hari selepas penerimaan notis  Mesyuarat Agung Cawangan Sekiranya tiada terdapat sebarang pencalonan untuk sesuatu jawatan atau cadangan untuk perbincangan , maka pencalonan serta pemilihan jawatan tersebut dan cadangan untuk perbincangan bolehlah dibuat semasa Mesyuarat Agung berkenaan.

17.5            Setiausaha Cawangan hendaklah menghantar kepada tiap-tiap ahli sekurang-kurangnya tujuh (7) hari sebelum diadakan Mesyuarat Agung Cawangan, satu agenda termasuk salinan peringatan mesyuarat dan laporan berserta dengan penyata kira-kira Cawangan bagi tahun sebelumnya.

17.6            Sekurang-kurangnya setengah (1/2) daripada jumlah ahli-ahli Cawangan yang berhak mengundi atau dua (2) kali ganda jumlah ahli Jawatankuasa Cawangan, mengikut mana yang kurang, hendaklah hadir di dalam Mesyuarat Agung  Cawangan bagi mengesahkan perjalanan mesyuarat dan mencukupi korum untuk mesyuarat.

17.7            Jika korum tidak cukup selepas satu jam daripada waktu yang telah ditetapkan untuk mesyuarat, maka mesyuarat itu hendaklah ditangguhkan selama satu jam lagi  dan jika kuorum tidak cukup selepas daripada waktu yang ditetapkan untuk mesyuarat yang ditangguhkan itu, maka ahli-ahli berkuasa menjalankan mesyuarat tetapi tidaklah berkuasa membuat keputusan-keputusan yang melibatkan semua ahli.

17.8            Mesyuarat Agung Luarbiasa Cawangan boleh diadakan jika:

17.8.a.       Atas arahan Jawatankuasa Pusat; atau

17.8.b.      Apabila Jawatankuasa Cawangan memikirkannya mustahak;

17.8.c.       Atas permintaan bertulis daripada setengah bilangan ahli Cawangan atau sekurang-kurangnya lima puluh orang ahli-ahli Cawangan dengan menyatakan tujuan dan sebab untuk mengadakan mesyuarat itu.

17.9            Mesyuarat Agung Luarbiasa  Cawangan atas permintaan ahli-ahli hendaklah  diadakan dalam tempoh empat belas (14) hari dari tarikh penerimaan permintaan mesyuarat tersebut.

17.10         Fasal 17 (6) dan 17 (7) di dalam undang-undang ini berkenaan korum dan penangguhan Mesyuarat Agung Cawangan boleh digunakan untuk Mesyuarat Agung Luarbiasa Cawangan, tetapi dengan syarat jika kuorum tidak mencukupi selepas satu jam dari waktu yang telah ditetapkan bagi Mesyuarat Agung Luarbiasa itu atas permintaan ahli-ahli tersebut, maka mesyuarat itu hendaklah dibatalkan.  Sekiranya pembatalan ini berlaku, maka sekurang-kurangnya di dalam tempoh enam (6) bulan daripada tarikh Mesyuarat Agung Luarbiasa yang dibatalkan tersebut, satu Mesyuarat Agung Luar Biasa yang lain yang dipohon dengan tujuan yang sama tidak boleh diadakan.

17.11         Setiausaha Cawangan hendaklah menghantar kepada tiap-tiap ahli dan Setiausaha Agung minit mesyuarat tiap-tiap Mesyuarat Agung Cawangan dalam tempoh yang berpatutan  setelah selesainya mesyuarat itu.

FASAL 18  JAWATANKUASA CAWANGAN

18.1.          Ahli-ahli Jawatankuasa Cawangan hendaklah terdiri daripada:

18.1.a.       Seorang Ketua  Cawangan;

18.1.b,      Seorang Naib Ketua  Cawangan;

18.1.c.       Seorang Setiausaha Cawangan;

18.1.d.      Seorang Penolong Setiausaha Cawangan;

18.1.e.      Seorang Bendahari Cawangan; dan

18.1.f.       Lima (5) orang Ahli Jawatankuasa Biasa Cawangan.

18.2            Semua ahli yang berkhidmat di dalam Jawatankuasa Cawangan dan tiap-tiap pegawai lain yang menjalankan tugas-tugas eksekutif di dalam Cawangan hendaklah terdiri daripada warganegara Malaysia.

18.3            Ketua Cawangan, Naib Ketua Cawangan, Bendahari dan Lima (5) orang Ahli Jawatankuasa hendaklah dpilih tiap-tiap dua tahun sekali oleh Mesyuarat Agung Tahunan Cawangan.

18.4            Setiausaha dan Penolong Setiausaha akan dilantik oleh Ketua Cawangan untuk tempoh selama dua (2) tahun.

18.5            Pencalonan untuk jawatan-jawatan yang disebutkan di dalam Fasal 18.3 di atas hendaklah dicadang dan disokong dan pemilihan dijalankan dengan cara mengundi oleh ahli-ahli di dalam Mesyuarat Agung  Tahunan Cawangan.

18.6            Tugas Jawatankuasa Cawangan ialah mengelola dan mengaturkan kerja-kerja harian Cawangan mengikut Perlembagaan Persatuan dan arahan-arahan Jawatankuasa Pusat dan Mesyuarat Jawatankuasa Cawangan.

FASAL 19  KEWAJIPAN-KEWAJIPAN PEGAWAI

19.1.          Ketua Cawangan

19.1.a.       Menduduki kerusi dan wakil rasmi Cawangan di dalam Jawatankuasa Pusat Persatuan;

19.1.b.      Ketua Cawangan bertanggungjawab ke atas kesempurnaan perjalanan Cawangan serta pentadbiran dan pengurusannya;

19.1.c.       Ketua Cawangan akan mempengerusikan semua mesyuarat. Sekiranya beliau tidak hadir, Naib Ketua Cawangan akan mempengerusikan mesyuarat tersebut. Sekiranya Ketua  dan Naib Ketua Cawangan  tidak hadir, salah seorang Ahli Jawatankuasa Cawangan akan dilantik sebagai pengerusi mesyuarat;

19.1.d.      Berkuasa melantik dan memecat Setiausaha dan Penolong Setiausaha Cawangan;

19.1.e.      Menandatangani minit-minit  Mesyuarat, cabutan-cabutan dan atau salinan-salinan rekod Persatuan  bersama Setiausaha Cawangan  sekiranya perlu

19.1.f.       Memanggil sendiri atau melalui Setiausaha Cawangan  mesyuarat-mesyuarat  Jawatankuasa Cawangan  bila masa perlu.

19.1.g.       Mengarah Juruaudit supaya mengaudit Akaun Cawangan   bila-bila masa dan melaporkan kepada Jawatankuasa Cawangan  bila masa perlu.

19.2           Naib Ketua Cawangan

19.2.a.       Dalam masa ketiadaan Ketua Cawangan, Naib Ketua Cawangan akan mengambil alih dan menjalankan tugas-tugas dan tanggungjawab Ketua Cawangan;

19.2.b.      Membantu Ketua Cawangan menjalankan tugas dan tanggungjawabnya;

19.2.c.       Menjalankan apa-apa tugas sepertimana yang diarahkan oleh Jawatankuasa Cawangan

19.3           Setiausaha Cawangan

19.3.a.       Tertakluk kepada peruntukan Perlembagaan Persatuan Setiausaha Cawangan bertanggungjawab secara langsung kepada Ketua Cawangan. Beliau akan memanggil dan menghadiri semua Mesyuarat Agung Cawangan , Mesyuarat Luarbiasa Cawangan, Mesyuarat Jawatankuasa  Cawangan dan mesyuarat-mesyuarat yang diadakan dan menyampaikan segala dokumen-dokumen untuk pertimbangan mesyuarat-mesyuarat itu.

19.3.b.      Menyimpan dengan betul, teratur dan kemaskini daftar ahli-ahli, buku-buku dan laporan lain yang dikehendaki oleh pengurusan. Tertakluk kepada Fasal 4.2 diatas, buku daftar ahli hendaklah mengandungi butir-butir seperti nama Persatuan, nombor pendaftaran Persatuan , alamat, tarikh menjadi ahli, tarikh tamat menjadi ahli, nombor kad pengenalan , alamat dan pekerjaan.

19.3.c.       Menyediakan Laporan Tahunan Cawangan untuk dipertimbangkan oleh Jawatankuasa sebelum dibentangkan kepada Mesyuarat Agung Tahunan Cawangan

19.3.d.      Menjalankan sebarang tugas lain yang ditentukan oleh Jawatankuasa Cawangan  keatasnya dari masa ke semasa.

19.4            Penolong Setiausaha

19.4.a.       Di dalam ketiadaan Setiausaha Cawangan, Penolong Setiausaha akan menjalankan tugas-tugas yang telah ditetapkan kepada Setiausaha Cawangan .

19.4.b.      Membantu Setiausaha Cawangan  menjalankan tugas.

19.5            Bendahari Cawangan

19.5.a.       Menerima dan menjaga semua wang yang diterima oleh Cawangan  ini dan membuat pembayaran mengikut arahan-arahan Jawatankuasa Cawangan .

19.5.b.      Menyimpan ke dalam akaun bank yang dibuka atas kelulusan Jawatankuasa Cawanngan  atas nama cawanngan  semua wang yang diterima dalam masa tujuh (7) hari daripada penerimaannya.

19.5.c.       Mengeluarkan resit-resit, menyediakan baucer-baucer dan surat-surat lain mengjkut arahan-arahan Jawatankuasa Cawangan .

19.5.d.      Menyimpan dalam Akaun Wang Runcit sebanyak tidak lebih daripada RM500.00 (Ringgit Malaysia Lima Ratus sahaja) yang dikhaskan oleh Jawatankuasa Cawangan  untuk perbelanjaan runcit dan perbelanjaan yang dibuat datipada akaun ini boleh diganti seberapa kerap yang perlu.

19.5.e.      Menyelenggara dan menyimpan akaun-akaun Cawangan   dan dokumen-dokumen yang berkaitan dengan sempurna dan kemaskini supaya dapat diperiksa pada bila-bila masa

19.5.f.       Menyediakan Penyata Kewangan Tahunan yang telah siap diaudit untuk dipertimbangkan dan diluluskan oleh Jawatankuasa Pusat sebelum dibentangkan kepada Mesyuarat Agung Cawangan .

19.5.g.       Menyediakan anggaran pendapatan dan perbelanjaan tahunan Cawangan   untuk dipertimbangkan dan diluluskan oleh Jawatankuasa cawanngan sebelum dibentangkan kepada Mesyuarat Agung  Cawangan .

19.5.h.      Menjalankan sebarang tugas lain yang ditentukan oleh Jawatankuasa Cawangan  keatasnya dari masa ke semasa.

19.6            Ahli Jawatankuasa Biasa

Menjalankan tugas mengikut arahan Jawatankuasa Cawangan .

19.7            Kuasa-Kuasa Dan Tugas-Tugas Jawatankuasa Cawangan

19.7.a.       Jawatankuasa Cawangan mempunyai kuasa untuk mengambil segala tindakan yang   perlu untuk melaksanakan tujuan-tujuan Persatuan  dengan sempurna.  Bagaimanapun, tindakan-tindakan ini hendaklah selari dengan keputusan dan arahan Jawatankuasa Pusat Persatuan;

19.7.b.      Jawatankuasa Cawangan  adalah berkuasa melantik Jawatankuasa Kecil apabila diperlukan. Jawatankuasa Kecil itu adalah tertakluk kepada arahan dan kawalan Jawatankuasa Cawangan.

FASAL 20  HAL EHWAL KEWANGAN CAWANGAN

20.1            Semua wang yang diterima oleh Cawangan  akan dimasukkan ke dalam Akaun Cawangan  di Bank sepertimana yang ditetapkan oleh Jawatankuasa Cawangan.

20.2            Cek-cek hendaklah ditandatangani oleh Bendahari Cawangan  dan hendaklah ditandatangani timbal oleh salah seorang daripada Ketua, Naib Ketua atau Setiausaha Cawangan.

20.3            Kumpulan wang yang lebih daripada RM500.00 (Ringgit Malaysia Lima Ratus sahaja) tidak boleh disimpan oleh Bendahari Cawangan  sebagai Wang Runcit.

FASAL 21  PERUNTUKAN-PERUNTUKAN UMUM MENGENAI CAWANGAN

Di mana peruntukan khas tiada disebut di dalam Perlembagaan ini bagi perkara-perkara berhubung dengan pentadbiran Cawangan Persatuan, Perlembagaan dan peraturan  yang berkenaan mengenai pentadbiran Persatuan induk akan diikuti sejauh mana yang sesuai. Mesyuarat Agung Persatuan dan Jawatankuasa Pusat akan memberi arahan kepada Mesyuarat Agung Cawangan atau Jawatankuasa Cawangan mengenai pentadbirannya.

FASAL 22  PINDAAN PERLEMBAGAAN

Perlembagaan ini tidak boleh diubah atau dipinda kecuali dengan keputusan Mesyuarat Agung Persatuan . Permohonan untuk perubahan dan pindaan  Perlembagaan  hendaklah  dibuat kepada  Pendaftar Persatuan dalam tempoh tiga puluh (30) hari dari tarikh keputusan Mesyuarat Agung Persatuan  meluluskan perubahan atau pindaan itu dan hanya boleh berkuatkuasa mulai daripada tarikh perubahan-perubahan dan pindaan-pindaan itu dibenarkan oleh Pendaftar Pertubuhan.

FASAL 23  PEMBUBARAN

23.1            Persatuan ini boleh dibubarkan secara sukarela dengan persetujuan tidak kurang daripada dua pertiga (2/3 ) jumlah semua wakil Cawangan yang hadir di dalam suatu Mesyuarat Agung Luarbiasa yang dipanggil khusus kerananya.

23.2            Sekiranya Persatuan hendak dibubarkan secara yang disebutkan di atas, maka segala hutang dan tanggungan Persatuan yang sah mengikut undang-undang hendaklah dijelaskan dan baki wang yang tinggal hendaklah diselesaikan mengikut cara yang dipersetujui di dalam Mesyuarat Agung Luarbiasa tersebut.

23.3            Kenyataan mengenai pembubaran itu hendaklah disampaikan oleh Jawatankuasa Pusat kepada Pendaftar Pertubuhan di dalam masa empat belas (14) hari daripada tarikh pembubaran itu.

FASAL 24  TAFSIRAN UNDANG-UNDANG

Di antara berlangsungnya Mesyuarat Agung Persatuan, Jawatankuasa Pusat boleh memberikan tafsirannya kepada Perlembagaan ini dan sekiranya perlu membuat keputusan berhubung perkara-perkara yang tidak terkandung di dalam Perlembagaan ini. Kecuali perkara-perkara yang bertentangan atau tidak selaras dengan dasar yang telah dibuat di dalam Mesyuarat Agung Persatuan , keputusan Jawatankuasa Pusat ke atas ahli-ahli adalah muktamad jika tidak diubah oleh keputusan Mesyuarat Agung Persatuan .

FASAL 25  LARANGAN

25.1            Permainan yang disebutkan di bawah ini tidak boleh dimainkan di dalam rumah Persatuan: Roulette, Lotto, Fan Tan, Poh, Peh Bin, Belangkai, Pai Kau, Tan Ngau, Tien Kow, Chap Ji Kee,Sam Cheong, Dua Puluh Satu, Tiga Puluh Satu, Sepuluh dan Setengah, semua permainan dadu, banker’s game dan semua permainan yang bergantung semata-mata kepada nasib.

25.2            Persatuan atau ahli-ahlinya tidak harus mencuba menghalang atau dengan apa cara juga mengganggu perniagaan atau harga barang-barang atau mengambil peranan di dalam gerakan kesatuan sekerja seperti definasi dalam Akta Kesatuan Sekerja, 1959.

25.3            Persatuan  ini  tidak  boleh  menjalankan  loteri  sama  ada dikhaskan kepada ahli-ahli atau tidak, atas nama Persatuan atau pegawai-pegawainya atau Jawatankuasa Pusat atau ahli tanpa kelulusan daripada pihak berkuasa berkenaan.

25.4            “Faedah” seperti yang ditafsirkan di bawah Seksyen 2 Akta Pertubuhan, 1966 tidaklah boleh diberi oleh Persatuan kepada mana-mana ahlinya