Archive: Nota Presiden (2007)

Dato' Mukhriz Tun Mahathir
Presiden Ansara 
 
Assalamualaikum wbt 
Rakan-rakan Ansara yang saya hormati,
 
Terlebih dahulu saya ingin panjatkan sepenuh kesyukuran kepada Allah SWT kerana dengan limpah kurnia dan izinNya kita masih dapat bersama-sama menggembleng tenaga dan usaha untuk terus menjayakan Ansara.
 
Saya ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan tahniah di atas pelancaran portal baru Ansara. Harapan saya agar portal ini akan menjadi salah satu wahana kepada kita semua, bekas pelajar MRSM, untuk berinteraksi dan berkongsi maklumat. Gunakanlah portal ini sebaik-baiknya untuk manafaat kita semua. Marilah kita sama-sama war-warkan kepada rakan-rakan kita, semua bekas pelajar MRSM untuk melawati portal ini. Kita mungkin akan berjumpa kawan-kawan yang telah puluhan tahun tidak kita hubungi melalui portal ini.
 
Saya juga ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan tahniah dan terima kasih kepada semua kawan-kawan yang telah bertungkus lumus menjayakan Kempen Derma Darah Pra Ramadan Ansara - Utusan yang baru sahaja berakhir. Kejayaan kita mengumpul 2,120 beg darah disemua lokasi pengumpulan adalah sesuatu yang membanggakan. Kempen ini sudah tentu tidak akan berjaya tanpa sokongan dari semua. Terima kasih kepada Pusat Darah Negara, Utusan Melayu (M) Bhd, AEON Co (M) Bhd, Telekom Malaysia Bhd, Edaran Digital Systems Sdn Bhd, Penang Development Corporation, Kumpulan Hospital Penawar serta semua organisasi lain yang turut terlibat.
 
Semoga pengalaman dan maklumat yang kita dapat pelajari sepanjang menjalankan Kempen tersebut akan dapat digunakan untuk menjadikan kempen-kempen sama ditahun mendatang akan lebih berjaya. Saya telah dimaklumkan bahawa Jawatankuasa Kempen Derma Darah Ansara dibawah Sdra Roslan Bani Amin dan Koordinator Kebangsaan, Sdra Dr Halim Abu Bakar sudah mula merangka strategi untuk kempen yang sama yang dijangka akan diadakan pada 30hb Ogos - 1hb September 2008. Marilah kita sama-sama jayakan Kempen tersebut nanti.
 
Saya juga ingin merakamkan ucapan tahniah dan terima kasih kepada kesemua Koordinator-koordinator Negeri, sukarelawan-sukarelawan, media massa dan individu-individu yang telah mengorbankan hujung minggu mereka untuk menjayakan Kempen tersebut.
 
Terima kasih juga kepada 2,120 Wira Darah Ansara - Utusan. Juga kepada sejumlah individu prihatin yang telah turut tampil kehadapan namun tidak dapat menyumbang untuk kali ini.
 
Dalam keghairahan kita menjayakan Kempen Derma Darah Pra Ramadan Ansara-Utusan, pada 9hb September lalu juga telah menyaksikan pasukan Ansara KT muncul sebagai juara Piala Ansara 2007 setelah mengalahkan pasukan MCOBA. Tahniah kepada Ansara KT dan Jasa Sukan Ansara yang diterajui oleh Sdra Amiruddin Jumaat.
 
Sebagaimana yang telah diumumkan melalui portal ini, pelbagai aktiviti telah, sedang dan akan dijalankan. Saya berharap agar lebih ramai diantara rakan-rakan kita, terutamanya dari golongan muda, akan tampil kehadapan untuk turut terlibat dan bergiat aktif dalam aktiviti-aktiviti Ansara, samada diperingkat Pusat mahupun Cawangan.
 
Aktiviti-aktiviti yang dirancang sudah tentu memerlukan bantuan tenaga serta kewangan dari kita semua. Segala bentuk bantuan dan sumbangan dari rakan-rakan amatlah dialu-alukan.
 
Kita juga mengalu-alukan sebarang cadangan atau ide untuk menambahbaik Ansara samada dari aspek aktiviti, pengurusan dan pentadbiran atau lain-lain. Sehubungan dengan itu, satu Jawatankuasa Khas akan ditubuhkan untuk meneliti serta memberikan cadangan kepada Jawatankuasa Pusat Ansara.
 
Buat penutup kata saya juga ingin mengucapkan selamat berpuasa dan beribadah kepada semua warga ANSARA yang beragama Islam di dalam bulan yang mulia ini Ramadahan Al Mubarak
 
Sehingga berjumpa dilain kali!.. marilah kita sama memperkasakan Ansara.
 
Wassalam.

(2007-07-23)